Saturday, July 31, 2010

Penggunaan di dan ke


1. Sebagai kata sendi- di dan ke yang berfungsi sebagai kata sendi untuk menunjukkan tempat atau arah ditulis terpisah daripada kata nama yang mengikutinya.

Contohnya:

di Ave Maria, di Melaka, di seberang jalan
ke jalan lain, ke Rom

2. Sebagai imbuhan- di dan ke yang berfungsi sebagai imbuhan ditulis bercantum dengan kata selepasnya.

Contohnya:

diawasi, dipercepat dikenal pasti
kedua,kehendak, kesemua, kesudahan

Friday, July 23, 2010

adalah atau ialah


Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah yang menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. kekeliruan penggunaan kedua-dua kata dapat dikategorikan seperti berikut:

1. kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah

a. Anak adalah anugerah Allah (X)
Anak ialah anugerah Allah (/)

b. Matlamat NURY adalah pembinaan masyarakat cemerlang. (X)
Matlamat NURY ialah pembinaan masyarakat cemerlang. (/)

2. kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah

a. Kursus ini ialah untuk...(X)
Kursus ini adalah untuk...(/)

b. Baju itu ialah baik.(X)
Baju itu adalah baik.(/)

3. kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

a. Satu usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah penerangan untuk tatapan masyarakat.(X)

Satu usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah penerangan untuk tatapan masyarakat.(/)

4. kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.

a. Adalah dengan ini dimaklumkan....(X)

Dengan ini dimaklumkan....(/)

b. Adalah diumumkan bahawa...(X)

Dengan ini diumumkan bahawa...(/)

Selain itu, pengguna bahasa Melayu cenderung untuk menggunakan ungkapan adalah + kata kerja seperti berikut:

...adalah berasaskan...

...adalah berdasarkan...

...adalah digalakkan...

...adalah dibuat...

...adalah dinasihatkan...

...adalah melambangkan...

...adalah merupakan...

...adalah tertakluk...

Contohnya;

a. Para pelajar adalah dipelawa memohon...(X)

Para pelajar dipelawa memohon...(/)

b. Perjanjian ini adalah tertakluk kepada...(X)

Perjanjian ini tertakluk kepada...(/)

Ayat atau frasa di atas dikategorikan sebagai frasa yang salah kerana tanpa kata adalah, ayat atau frasa tersebut sudah mencapai maksud dan menepati struktur tatabahasa. Kata adalah sebelum kata kerja berkenaan tidak membawa sebarang maksud atau fungsi tatabahasa sama ada berfungsi sebagai penegas atau seumpama dengannya.

Thursday, July 22, 2010

Nama tempat


Pada asasnya, ejaan nama tempat dan negeri ditulis menurut arahan yang ditetapkan oleh kerajaan masing-masing.

1. Nama tempat dalam Malaysia yang dibentuk sebelum tahun 1972 dikekalkan dengan ejaan cara lama. Contohnya;
Cheras, Klang, Ayer Keroh, Kampong Chepor.

2. Bagi nama tempat dalam Malaysia yang dibentuk selepas tahun 1972 digalakan menggunakan ejaan baru. Contohnya;
Teluk Intan, Teluk Air Tawar, Taman Bukit Cahaya, kampung Baharu.

3. Nama tempat di luar negeri yang sudah biasa dieja dengan cara Melayu dikekalkan demikian. Contohnya;
Perancis, Belanda, Kanada, Mesir, Jepun, Filipina, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China.

4. Nama tempat di luar negeri yang dieja dengan cara antarabangsa dikekalkan demikian. Contohnya;
England, New York, Cuba, Bosnia-Herzegovia.

Wednesday, July 21, 2010

Partikel


Partikel pun secara umumnya ditulis terpisah daripada kata sebelumnya seperti berikut;

rumah pun tidur pun
anak pun makan pun
apa-apa pun mati pun
dia pun sudah pun
berehat pun merah pun
memancing pun kecil pun

kecuali untuk kata tugas berikut;

adapun kalaupun
andaipun kendatipun
ataupun mahupun
biarpun lagipun
bagaimanapun meskipun
sekalipun sungguhpun
walaupun

Tuesday, July 20, 2010

Seyogia

Perkataan seyogia jarang didengar dan hampir sebahagian pengguna bahasa Melayu tidak menggunakannya, malah jika ditanya maksudnya pasti ramai akan pandang- memandang.

Seyogia
menurut kamus Dewan edisi ketiga bermaksud;sepatutnya, selayaknya,semestinya.

Ayat contoh;

Jikalau abang hendak melancong seyogianya saya dibawa bersama.

Monday, July 19, 2010

Peribahasa 2


Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Maksudnya;
Rezeki perlu diusahakan dan tidak datang dengan sendiri atau keuntungan atas kemewahan datang daripada berbagai-bagai punca.

Ayat contoh;
Produk pertanian mampu menjadi peniagaan yang menguntungkan sekiranya para petani gigih berusaha, bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Saturday, July 17, 2010

Penulisan Kata


1.Rangkai kata umum- semua rangkai kata sama ada dua perkataan atau lebih hendaklah ditulis terpisah.
Contohnya:

jalan raya tengah hari

lebuh raya warga kota

bandar raya sari kata

kereta api atur cara

susun atur kemas kini

reka bentuk maklum balas

Kekecualian:

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Keretapi Tanah Melayu

2.Kata yang telah mantap ditulis sebagai satu perkataan.

kerjasama bumiputera

kakitangan suruhanjaya

sukarela pesuruhjaya

matahari tandatangan

setiausaha tanggungjawab

warganegara jawatankuasa

antarabangsa

3.Rangkai kata umum berimbuhan

a. Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan.
Contohnya:

diambil alih
kenal pastikan
diguna pakai

b. Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan.
Contohnya:

pengambilalihan
pengenalpastian
pengemaskinian

Sumber: Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, DBP

Eufemisme


Eufemisme ialah ungkapan yang lebih lembut, sopan atau manis untuk menggantikan ungkapan yang lebih kasar dan kurang sesuai.Contohnya perkataan mati dianggap agak kasar dan tidak sesuai untuk menggambarkan kesedihan maka digantikan dengan perkataan yang lebih lembut dan manis antaranya sudah tiada, pergi menghadap Ilahi, pergi buat selama-lamanya, pergi dahulu, kembali ke rahmatullah, meninggal dunia, dan menyambut panggilan Ilahi.Antara contoh lain perkataan tua telah digantikan dengan perkataan usia meningkat, warga emas dan veteran.Hal ini adalah tidak lain bagi menjaga hati agar tiada yang tersinggung dan berkecil hati.

Tuesday, July 6, 2010

Karangan berpandu




Lihat gambar yang berikut dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mencegah jenayah ragut. Panjang karangan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Saturday, July 3, 2010

Peribahasa


Saya tertarik dengan peribahsa yang berkaitan kekuasaan yang dipetik dari majalah Pelita Bahasa keluaran Jun 2010

Kayu yang tumbang itu,kura-kura pun hendak memanjatnya.

Maksudnya;

Apabila orang besar-besar hilang kebesarannya,
maka orang kecil pun berani mencercanya.

Ayat contoh:

seseorangyang mempunyai kuasa tidak selama-lamanya boleh bermegah dengan kedudukannya kerana jika beliau kehilangan kuasa, pasti orang bawahan tanpa rasa takut turut sama mengkritiknya, umpama peribahasa Melayu, kayu yang tumbang itu, kura-kura pun hendak memanjatnya.

*Pasti peribahasa ini memberikan kita peringatan yang berguna, sebagai pemimpin mesti ingat orang yang berada di bawah. Bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan bertindak dengan penuh bijaksaan.

Friday, July 2, 2010

Deiksis

Deiksis berasal daripada perkataan Yunani yang bererti"menunjukkan atau menunjuk".Deiksis ialah hal atau fungsi yang menunjukkan sesuatu di luar bahasa. Dengan kata lain, dieksis merupakan rujukan sesuatu, seperti benda, tempat atau waktu.