SUNGAI yang bersih dan indah akan menjadi tumpuan pengunjung untuk bersantai dengan keluarga atau kawan-kawan pada hujung minggu.
Sungai menjadi sebahagian daripada landskap semula jadi dan akses riadah di situ biasanya adalah percuma.
Kini, kebanyakan sungai yang cantik ialah sungai yang dikomersialkan dan menjadi tempat perkelahan popular, sekali gus memberikan pendapatan kepada syarikat yang menguruskannya.
Banyak kawasan sungai diperindah dengan fasiliti atau kemudahan riadah yang dijaga dan diselenggara dengan baik.
Suatu ketika dahulu ketika sungai menjadi sumber air utama penduduk, masalah sungai kotor, tidak timbul. Ia menjadi tempat membersihkan diri, mencuci pakaian dan sumber minuman yang selamat lagi berharga walaupun penggunaannya tanpa had dan tidak dikenakan bayaran.
Namun, hari ini apabila kemodenan telah membolehkan air disalurkan melalui paip ke rumah-rumah, sungai sudah tidak dihargai walaupun hakikatnya dari situ jugalah sumber air paip diperoleh.
Sejak beberapa dekad lalu, banyak sungai di bandar menjadi tempat melupuskan sampah individu, buangan kilang dan yang paling menyedihkan hari ini ia turut menjadi saluran melenyapkan bayi yang tidak dikehendaki serta melupuskan bahan bukti pembunuhan.
Ia merupakan satu trend baru yang tidak bermoral.
Sumber air yang begitu menyamankan dicemari manusia yang lupa akan tanggungjawab mereka kepada alam semula jadi. Kilang-kilang turut menyalurkan sisa buangan bahan proses ke dalam parit yang akhirnya mengalir ke sungai-sungai berdekatan.
“Mereka lupa kesannya kepada sungai,” ujar seorang pelawat dari United Kingdom, Dr. Azrini Wahidin yang meluahkan rasa tidak puas hati.
Azrini dari Universiti Queens, Belfast, Ireland yang kini berada di Malaysia sebagai profesor pelawat Universiti Malaya dalam bidang kriminologi merasakan semua orang sepatutnya sedar mengenai fungsi sungai sebagai sumber air.
“Ekosistem yang sihat dan selamat perlu dikekalkan dan ia sebahagian daripada tanggungjawab manusia, jadi mereka perlu mengusahakannya dengan gigih.
“Jangan lepas tangan dan harapkan agensi kerajaan melakukan sesuatu tanpa penglibatan komuniti sekitar. Banyak aktiviti air boleh dilakukan di sungai,” tegur Azrini sambil menunjukkan ke arah sebuah tasik buatan manusia yang bersih terletak berhampiran Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.
Azrini amat tertarik dengan aktiviti berkenu yang dibenarkan di tasik itu pada waktu petang.
Meneutralkan ph air sungai
Bagaimanakah untuk menyelamatkan air sungai yang kotor? Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk memulihkan air sungai tetapi kedua-duanya bersifat sementara, menurut pakar.
EM (Effective Micro organism) atau mikro-organisme berkesan digunakan untuk menjernihkan semula air sungai yang sudah teramat keruh atau berada dalam kelas 4 yang menjadikannya tidak selamat untuk sebarang aktiviti.
Air akan kembali jernih dan dapat dinyah bau dalam masa dua hingga tiga hari.
Kaedah menggunakan bola lumpur juga berkesan menjernihkan semula sungai serta masalah baunya, tetapi ia mudah berpindah mengikut arus air dan impaknya tidak kekal untuk merawat air sungai yang diberikan tumpuan.
Bola lumpur tersebut diperbuat daripada bahan kitar semula seperti sampah yang dikutip dari sungai, dicampurkan dengan lumpur dan kemudian dimampatkan supaya dapat dibentukkan menjadi bola dan kemudian tumbesaran mikroorganisme digalakkan pada bola-bola ini.
Mikroorganisme yang terkandung dalam bebola lumpur akan memakan kotoran di dalam air itu tatkala lumpur mula melarut dalam air sungai atau kolam.
“Usaha inilah yang diambil oleh komuniti di Sungai Way, Selangor untuk memulihkan sebahagian Sungai Way di bawah program komuniti yang dibiayai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan di sekitar kawasan ini.
“Ia satu cara yang baik. Komuniti menyumbang terhadap usaha memulihara sungai di kawasan mereka. Kesedaran sebegini amat perlu. Ia wajar sebagai satu perkongsian ilmu dan tenaga dengan melibatkan pelajar sekolah dan ibu bapa mereka secara serentak,” kata Jurutera Daerah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor, Ishak Samsuddin semasa ditemui di Karnival Sungai bersempena projek pemulihan Sungai Way baru-baru ini.
Sumbangan komuniti
Kerja membersihkan Sungai Way sepanjang 2.5 kilometer dijalankan untuk memperbaiki tahap keselamatan airnya kepada Kelas 2B menjelang tahun 2015. Ia adalah komitmen yang dikongsi bersama beberapa syarikat korporat dan agensi kerajaan di kawasan itu seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Global Environment Center, Yayasan GAB, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan entiti lain yang prihatin terhadap pemuliharaan kebersihan sungai.
Yayasan GAB melabur sejumlah RM550,000 untuk projek selama tiga tahun itu sejak terlibat dengannya.
Kos memulihara sungai serta memulihkan tahap phnya mahal dan menjadi semakin tinggi jika tidak dikawal secara berterusan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, JPS, Datuk Ong Siew Heng, ketika ditanya mengenai pencapaian projek memulihkan sungai setakat ini berkata, sejak program Cintailah Sungai Kita dilancarkan kira-kira sedekad lalu beliau menyatakan kegembiraannya melihat warga sukarelawan dalam kalangan komuniti semakin aktif menitiskan keringat, bekerjasama untuk memastikan manfaat daripada sungai yang bersih terus diperoleh.
“Sungai tidak patut digunakan sebagai tempat pembuangan sampah sarap dan sisa buangan, tetapi untuk dinikmati oleh komuniti sebagai tempat rekreasi untuk menikmati alam semula jadi dan biodiversiti yang hidup di persekitaran sungai.
“Nadi sumber air semula jadi ini boleh menimbulkan bencana dan malapetaka, jika tidak dijaga akibat kecuaian manusia,” jelas Siew Heng. -Oleh HAZLINDA HAMZAH Bernama.
No comments:
Post a Comment