Friday, February 11, 2011

MORFOLOGI



Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna.

Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan.

Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata dalam bahasa Melayu.

Unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan disebut morfem.

Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu.

Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Sesuatu perkataan itu dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Perkataan ajar, misalnya, terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi dua morfem, iaitu meng- dan ajar. Ada perkataan yang mengandungi lebih daripada dua morfem.

Morfem boleh bersifat bebas atau terikat.

Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem-morfem bebas, tetapi imbuhan ber- dalam bersekolah dan –an dalam lautan ialah morfem-morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar.

Kesimpulannya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa proses pembetukan perkataan melibatkan pengimbuhan.

No comments:

Post a Comment