Leca dan lecah ialah perkataan bahasa Melayu. Tahukah anda akan maksud perkataan-perkataan tersebut?
Leca (sebut l?ca ) kerana huruf vokal e dalam perkataan leca itu ialah vokal e pepet. Leca bermaksud rantai leher yang diperbuat daripada manik. Makna lain bagi kata ini ialah tilam atau mesai. Penggunaan dalam ayat, misalnya:
1. Bayi itu tidur di atas leca.
2. Mesai ialah leca, bukan misai.
Jika perkataan leca diakhiri huruf konsonan h, maka terbitlah perkataan lecah. Lecah bermaksud becak, yakni keadaan tanah yang berlumpur atau berselut. Selain disebut becak, becek ialah perkataan yang bersinonim dengannya.
Jika kita memandu kenderaan merempuh lecah ini, maka sudah tentu kenderaan kita, setidak-tidaknya rodanya kotor. Kaki yang terpijak lumpur kotor berselut. Kotor dilambangkan sebagai sesuatu makna yang buruk. Orang yang mendapat nama yang buruk (aib) dikatakan kena lecah. Betapa buruknya sifat lecah itu dijadikan kiasan kepada manusia melalui peribahasa lecah di kaki yang bermaksud perihal orang lelaki yang berkahwin tanpa tanggungjawab melainkan sebagai orang menumpang sahaja.
Dalam makanan pula, sekiranya gulai yang dimasak itu tidak perisa kerana tawar , maka makanan itu dikatakan lecah. Makanan yang lecah harus dibubuhi secubit garam agar terasa perisanya.
Perkataan lecak (vokal e pepet) bermaksud lecup. Perkataan lecup bersinonim pula dengan maksud sesuatu yang mencecah sampai ke bawah, seperti kaki kain atau kaki celana yang terlabuh hingga menyapu tanah. Perkataan lecak, apabila digandakan menerbitkan kata ganda penuh lecak-lecuk. Lecak-lecuk menggambarkan tiruan bunyi seperti bunyi orang berjalan dalam lumpur .
Sebaliknya, apabila kita membunyikan huruf vokal e dalam perkataan lecak dengan bunyi e taling, maka terbit pula bunyi lecak [lécak]. Lecak menunjukkan keadaan tanah yang lembik dan berair. Keadaan tanah begini dinamakan becak atau becek. Jelaslah maksud lecak dan lecah sama sahaja, kerana kedua-dua perkataan ini menggambarkan keadaan tanah yang berlumpur. Oleh itu, anda boleh sahaja membina ayat:
1. Ibu melarang kita bermain dalam lecah.
2. Halaman rumahnya lecak kerana hujan turun dengan lebat.
Tahukah anda bahawa perkataan begar juga diucapkan dalam dua variasi bunyi. Kedua-dua bunyi yang berbeza ini ditentukan oleh kehadiran huruf vokal e pepet dan e taling dalam perkataan itu. Jika perkataan begar diucapkan begar (huruf e pepet), maka maksudnya keras. Ubi, keledak yang tidak empuk apabila direbus dikatakan begar. Selain makna keras, begar juga bermaksud tegar hati atau tidak dapat diubah lagi.
Begar (e taling) mendukung maksud bergerak berkeliling atau berlegar seperti kapal terbang yang hendak mendarat. Sudah jelas kepada kita perbezaan kedua-dua makna perkataan begar. Oleh itu, jika kita ingin menggambarkan peri degilnya atau keras hati seseorang itu, perkataan begar ( e pepet) merupakan pilihan yang tepat, bukannya begar (e taling).
Demikian huraian tentang beberapa perkataan yang berbeza sebutannya oleh kehadiran e pepet dan e taling. Kehadiran kedua-dua e ini pula menerbitkan, bukan sahaja bunyi yang berbeza, malah maksudnya juga berbeza. Oleh itu, berhati-hatilah menyebut perkataan-perkataan itu menurut makna yang hendak diungkapkan. Dengan cara inilah anda dapat berbahasa dengan betul.
No comments:
Post a Comment