Saturday, December 25, 2010

Perihal Bahasa


BAHASA ialah penyatuan sistem lambang-lambang bunyi yang digunakan sebagai wahana perhubungan untuk menyatakan fikiran, perasaan dan tujuan dalam lingkungan kelompok manusia. Daripada perkataan bahasa dapat diterbitkan beberapa banyak ungkapan tertentu. Ungkapan-ungkapan ini mengandungi pengertian khusus bagi menyatakan sesuatu pula.
Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa, yakni tahu menggunakan bahasa yang sesuai pada tempat, suasana, dan konteks. Kita seharusnya tahu memilih bentuk bahasa yang padan apabila berbicara dengan seseorang. Jika berkomunikasi dengan anggota golongan raja, sultan atau kerabat utama raja, walhal kita sebagai pembicara orang biasa, sudah tentu bentuk bahasa dalam yang kita gunakan. Bahasa dalam ialah bahasa halus yang digunakan di istana. Kata-kata seperti patik (saya), tuanku (awak), junjung kasih (terima kasih), santap (makan), gering (sakit), mencemar duli (berangkat), dan sebagainya digunakan sebagai wahana bicara.
Sebaliknya, apabila kita bercakap dengan orang biasa tetapi dewasa, matang usianya, atau terhormat kerana pangkat kedudukan serta tinggi tahap sosialnya, sudah tentu kita akan memilih penggunaan bahasa halus. Kata-kata dalam bahasa halus lembut tidak dirasakan kasar atau yang boleh menyentuh perasaan. Dengan bahasa ini, misalnya, kita mengelakkan penggunaan kata ganti nama aku dan engkau bagi menurujuk diri sendiri dan orang yang dilawan bercakap. Kita sudah tentu menggunakan saya, tuan, Tan Sri, dan seumpamanya. Kita juga berasa janggal menggunakan perkataan mati untuk manusia, tetapi menggantikannya dengan perkataan mangkat (raja), meninggal dunia, atau dengan kiasan sudah pergi atau sudah tiada lagi (orang biasa). Demikianlah betapa perlunya kebijaksanaan kita memilih perkataan yang amat serasi.
Bercakap dengan orang yang dihormati ini tidak molek, kiranya, kita menggunakan bahasa harian sepenuhnya, kerana bentuk bahasa basahan ini mengandungi perkataan dan ayat yang tidak mematuhi rumus tatabahasa baku. Lenggok bahasanya ringkas serta mudah. Ada perkataan tanpa imbuhan, tanpa gandaan, ayat tergantung tanpa subjek, predikat yang tidak sempurna, serta direncahi dengan bahasa daerah/bahasa dialek, yang hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan anggota keluarga atau rakan dalam suasana tidak rasmi. Penggunaan bentuk bahasa basahan ini dapat mewujudkan komunikasi natural, dan hubungan yang intim. Tetapi, apabila bercakap dengan rakan sejawatan atau sejabatan, kita merojakkan bahasa kita (bahasa rojak). Pada suatu ketika kita menggunakan perkataan bahasa Melayu dan seketika yang lain kita menggunakan perkataan bahasa Inggeris/bahasa Arab tanpa menghitung keluhuran tatabahasa.
Akan ada perbezaan pula bahasa yang kita gunakan apabila lawan bicara kita daripada kalangan bangsa asing (orang Cina, India atau Benggali). Atas dasar untuk tujuan pemahaman maksud yang mudah lagi pantas, kesenangan dan kelancaran komunikasi, maka bahasa pasar menjadi wahana. Apabila bahasa kacukan (bahasa pasar) menjadi bahasa perantaraan, sudah pasti bahasanya menyimpang jauh daripada bentuk bahasa baku kerana yang diutamakan ialah pemahaman inti pati bicara dan kelancaran berbahasa.
Bagi kalangan penutur yang rendah martabat sosialnya, bentuk bahasa slanga, yakni salah satu bentuk bahasa terhad menjadi bahasa bicara. Bahasa slanga yang mendapat perhatian sedikit pada masa lampau ialah slanga kutu, yakni bentuk slanga bagi kalangan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan narkotik. Bahasa ini mengandungi perkataan-perkataan baharu atau perkataan biasa dengan pengertian tertentu. Langgam bahasanya banyak dipengaruhi oleh perkataan atau struktur bahasa asing, khususnya bahasa pasar. Antara bentuk bahasa slanga ini:
“Itu lu punya pasal. Lu tangkap kawin ke, cintan-cintun ke itu lu punya hal.
Gua tak peduli. Lu nak bikin apa sama gua? Lu mahu sekeh kepala gua? Pigila.”
Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Ghalibnya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa amarah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini cocok untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa pembicara.
Bagi orang ilmuan, mereka terdidik untuk menggunakan bahasa baku, iaitu bahasa yang teratur dan mantap dalam pelbagai aspek seperti sebutan, ejaan, dan tatabahasa. Oleh sebab bahasa ini dikatakan bahasa ilmu, maka bentuk bahasa ini digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan (pengajaran), perbincangan, forum dan sebagainya. Jalan bahasa golongan cendekiawan ini cukup mantap dan berkesan.
Dalam penulisan atau persuratan pelbagai bidang, selain menggunakan laras bahasa menurut lapangannya, pastilah bahasa ilmu yang teratur lagi baik itu digunakan, hingga ada yang menganggap bahasa itu sebagai bahasa kitab. Bahasa persuratan mereka ini bertenaga kerana langgam bahasa yang digunakan indah, tepat dan berkesan. Dalam karya kreatif, bahasa karyawan ini dirampaikan pula dengan bahasa kiasan, peribahasa, bahasa puisi sebagai rencah bahasa persuratan tinggi yang dapat menimbulkkan kesan segar perisa bahasa.
Demikianlah betapa banyak dan luas ungkapan yang bersabit dengan perkataan bahasa dalam bahasa Melayu. Jelaslah bahawa, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya, kerana bahasa ceminan hati budi manusia.

No comments:

Post a Comment